Tuesday, December 8, 2009

Sayu & sedih melihat jenazah disolatkan, tapi pelancong pula bersuka ria

Pagi ini (8 Disember 2009) satu pengurusan jenazah anak kecil berumur 5 tahun telah diadakan di Masjid Putra. Setelah dimandikan, anak kecil itu dibawah ke dalam masjid untuk disembahyangkan.

Suasana pilu dengan esak tangis kaun keluarga terdekat. Kaum lelaki pula bersiap sedia untuk solat jenazah. Tiga saf dibentuk dan jenazah diletakkan di hadapan.

Para pelancong berjubah merah jambu berkeliaran di sekitar masjid. Mengambil gambar dan beraksi penuh gaya. Tidak dilupakan bersilih ganti mengambil gambar kenangan bersama pengawal masjid yang segak berbaju melayu merah hati dan bersampin songket.

Tiba-tiba seorang pelancong wanita 'sesat' telah masuk ke dalam masjid. Jubah merah jambunya tidak lagi dipakai dengan lengkap. Dengan rambut panjang mengurai, pelancong tersebut menghampiri saf dan merakam situasi solat jenazah. Tanpa perasaan bersalah juga, pelancong tersebut melintasi jenazah anak kecil itu dan kaum lelaki yang sedang bersolat.

Seorang anak kecil melangkah pantas ke arah pengawal masjid dan memberitahu terdapat seorang pelancong wanita sedang asik merakam gambar dan melintas di hadapan jenazah dan mereka yang sedang bersolat. Pengawal tersebut terkejut dan terus menuju ke arah pelancong tersebut. Namun, sudah terlambat. Pelancong tersebut sudahpun sampai ke garisan penamat saf.

Siapa yang sepatutnya mengawal pelancong tersebut? Siapa yang sepatutnya memberikan taklimat terlebih dahulu kepada pelancong apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan agar mereka tahu bahawa mereka sepatutnya lebih prihatin dan sensitif terhadap amalan agama masyarakat lain.

Mungkin pengawal masjid jangan terlalu leka melayan permintaan pelancong untuk bergambar kenangan. Mungkin sepatutnya pengurusan masjid melantik seorang pemandu pelancong supaya kumpulan pelancong ini tidak tersasar sewaktu melancong ke masjid kita. Mungkin, pengurusan masjid harus lebih peka dan sensitif jika ingin menjadikan masjid kita sebagai salah satu destinasi pelancong.

No comments:

FEW LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...